Miliki sebilah parang, penjual burger dipenjara lima tahun - Utusan Malaysia

Miliki sebilah parang, penjual burger dipenjara lima tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


PETALING JAYA 24 Julai – Seorang penjual burger dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki sebilah parang tanpa kebenaran di tempat awam, tahun lalu.

Muhammed Firdaus Mohamad Ridza, 35, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan memiliki sebilah parang berhulu plastik, bersarung hitam berukuran 0.16 meter yang diletakkan di dalam beg tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di kaki lima Dataran Menteri, Jalan PJS 8/6, Sunway Menteri di sini kira-kira pukul 12 tengah malam, 2 Mei 2017.


Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjual burger bagi menanggung ahli keluarga sementara Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim membantah hukuman ringan dengan mengambil kira faktor kepentingan dan keselamatan awam.


“Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menaiki motosikal curi dan membawa sebilah parang yang diletakkan di dalam beg tanpa mempunyai alasan yang kukuh. Tindakan yang dilakukan tertuduh mencurigakan, oleh itu saya mohon satu hukuman berat,” katanya.

Hakim Hilmiah Yusof memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu 2 Mei 2017.


Menurut fakta kes, sepasukan polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu telah melihat tertuduh dalam keadaan mencurigakan di kaki lima bangunan Dataran Mentari menghala ke tempat letak kenderaan.


Ketika penahanan dilakukan, tertuduh yang membawa sebilah parang di dalam beg yang disandang di bahunya telah bertindak agresif dan pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan untuk menahannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×