BACHOK 24 Julai -Jenazah bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Bukit Baru, Melaka semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Bakat, Melor di sini pagi ini.
Jenazah Yusuf Al Baihaqi Zainal Abidin yang merupakan anak pasangan seorang guru dan anggota polis itu disembahyangkan di Masjid Pengkalan Rama, Melaka dan tiba di Bachok 8 pagi ini. Urusan pengebumiannya selesai pada pukul 9.42 pagi.
Bapa bayi itu, Zainal Abidin Deraman, 34, berkata, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu meskipun amat sedih kehilangan anak lelaki yang amat ditunggu-tunggu kelahirannya sejak lapan tahun lalu
“Kakak dia umur lapan tahun, perbezaan umur yang jauh sangat, lama kami tunggu kehadiran Yusuf.
“Saya tidak salahkan taska atau pengasuh. Kita tunggu dulu laporan penuh hasil bedah siasat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu semasa di bawah jagaan Taska di Bukit Baru, Melaka.
Mangsa, Yusuf Al Baihaqi Zainal Abidin meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari ketika menerima rawatan selepas dikejarkan ke Hospital Melaka. – UTUSAN ONLINE











