IPOH 24 Julai – Kontrak Ahmad Shahrul Azhar Sofian sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dikatakan telah ditamatkan berkuat kuasa semalam.
![]() |
|
Ahmad Shahrul Azhar Sofian
|
Sumber memberitahu, bekas ketua pasukan kebangsaan dan Perak itu menerima sendiri surat memaklumkan perkara tersebut daripada Pafa semalam.
“Namun dua lagi jawatannya iaitu sebagai Pengurus dan Pengarah Teknikal pasukan Perak tidak diketahui statusnya,” kata sumber tersebut.
Ahmad Shahrul Azhar dilantik sebagai Setiausaha Kehormat Pafa pada 1 Julai tahun lalu.
Sementara itu, difahamkan Ahmad Shahrul Azhar tidak dilanjutkan kontraknya sebagai Setiausaha Kehormat secara automatik setelah Pafa diterajui kepimpinan baharu selepas Kongres Pafa pada Sabtu lalu.
Pada Kongres tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Koperasi negeri, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim dilantik sebagai Presiden Pafa setelah menang tanpa bertanding menggantikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Penamatan Ahmad Shahrul Azhar turut mencetuskan tanda tanya dalam kalangan kelab penyokong pasukan Perak yang mahukan penjelasan mengenainya kerana Perak mencatat prestasi memberangsangkan musim ini dengan menduduki tangga kedua Liga Super ketika ini.
Sementara itu, Hasnul Zulkarnain akan mengadakan sidang akhbar di pejabat beliau di sini esok, dipercayai untuk menjelaskan mengenai perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE












