KUALA LUMPUR 24 Julai – Kerajaan memberi jaminan bahawa langkah meneliti semula Model Ekonomi Baru (MEB) tidak akan mengetepikan hak golongan bumiputera di negara ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah yang mahu dilaksanakan itu bagi membolehkan semua golongan masyarakat termasuk di Sabah dan Sarawak turut mendapat perhatian serius daripada kerajaan.
Malah, beliau berpandangan, pengagihan ekonomi juga harus dilakukan secara adil dan saksama kepada semua rakyat.
“Pastinya, keperluan bumiputera itu terjamin kita mahu pastikan golongan tersebut mendapat hak mereka tetapi kita juga mesti berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia.
“Ada keperluan untuk masyarakat India di kawasan ladang atau luar bandar, peniaga-peniaga Cina yang juga perlukan perhatian dan bantuan kerajaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menerusi jawapan bertulis terhadap soalan William Leong (PH-Selayang) memaklumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meneliti semula dasar-dasar utama negara termasuk MEB dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). – UTUSAN ONLINE











