KUALA LUMPUR 24 Julai- Penyanyi popular, Katy Perry mendedahkan dirinya pernah mengalami kemurungan selepas albumnya, Witness yang dilancarkan tahun lepas kurang mendapat sambutan.
Walaupun album tersebut berjaya mendapat jualan 180,000 unit pada pada minggu pertama selepas dilancarkan, Perry mengakui, dia meletakkan harapan yang tinggi kepada album tersebut.
Katanya, apabila jualan album tersebut tidak dapat mengatasi jualan album terdahulu, Prism, penyanyi tersebut berasa tertekan dan sedih memandangkan album tersebut cukup bermakna dalam hidupnya.
“Saya mengalami kemurungan dan tertekan tahun lalu. Mungkin secara tidak sedar, saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada album Witness ini.
“Apabila kurang mendapat sambutan, saya sedih,” katanya dalam temubual dengan majalah Vogue Australia.
Bagaimanapun, Perry menyifatkan kegagalan album tersebut mencapai jangkaan banyak mematangkan serta mendewasakan dia supaya lebih fokus dan menulis lagu-lagu yang menepati cita rasa pendengar.
Dalam pada itu, rata-rata peminat memberi kata-kata semangat dan mahu Perry terus menjadi insan yang sentiasa tersenyum serta gembira seperti sebelum ini. – UTUSAN ONLINE











