ALOR SETAR – Kes saman fitnah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi terhadap seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung satu status di Facebook berjaya diselesaikan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kedua-dua pihak iaitu plaintif, Phahrolrazi, 65, yang merupakan Timbalan Pengerusi Amanah negeri dan defendan, Ramli A.Rahman, 59, bersetuju untuk merekodkan penghakiman persetujuan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Peguam Phahrolrazi, Zulhazmi Shariff berkata, persetujuan berjaya dicapai menerusi proses mediasi yang dilakukan antara kedua-dua pihak hari ini sebelum ia direkodkan di dalam mahkamah.
“Pihak defendan bersetuju untuk menarik balik paparan status Facebook bertarikh 7 Mac lalu selain membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Phahrolrazi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai prosiding mahkamah di sini hari ini.
Beliau turut membacakan kembali permohonan maaf dibuat defendan yang juga merupakan pesara tentera di dalam kamar mahkamah sebelum itu dengan turut dihadiri Phahrolrazi dan peguam mewakili Ramli, Muhamad Samsul Nizam Sohhimi.
Kata Zulhazmi, defendan membuat permohonan maaf kepada Phahrolrazi atas kekhilafannya memuat naik status bertarikh 7 Mac lalu dengan tangkapan skrin aplikasi WhatsApp mengandungi kandungan tidak tepat dan boleh disalah erti ia dibuat oleh plaintif dalam akaun Facebook defendan menggunakan nama Harry Ramli. – K! ONLINE











