KUALA LUMPUR 24 Julai – Segelintir golongan agamawan diselar kerana gemar menggelar golongan bukan Islam di negara ini sebagai kafir harbi dan kafir zimmi dalam sebuah negara yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin perlindungan dan keharmonian kepada semua kaum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yudof Rawa berkata, istilah-istilah tersebut hanya sesuai digunapakai oleh sesebuah negara yang geopolitiknya sebuah negara Islam (Daulah Islamiah).
“Golongan ustaz, ustazah dan ulama dalam sesi tazkirah, ceramah dan khutbah sering menggunakan istilah-istilah ini sebagai satu pengenalan kepada yang bukan Islam di negara ini.
“Sedangkan ia boleh mencetuskan fahaman radikal dan ekstremis di kalangan umat Islam kerana menjadikan istilah-istilah ini sebagai kayu pengukur bagaimana cara kita mengenali yang bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Saintifik Fahaman Ekstremis Takfiri dan Kewujudan Perpecahan dalam Dunia Islam 2018 anjuran Pusat Timur Barat Asia (Asia WE) di Universiti Malaya, di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden Asia WE Prof. Dr. Syed Farid Alatas, Presiden Pertubuhan Majlis Islam Konsultatif Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid dan Pengarah Sekretariat Himpunan Ulama Asia (Shura Malaysia) Abdul Ghani Shamsuddin. – UTUSAN ONLINE











