ALOR SETAR 24 Julai – Kes saman fitnah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi terhadap ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung satu status dan paparan di laman Facebook milik Harry Ramli, Mac lalu diselesaikan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Menurut peguam, Zulhazmi Shariff yang mewakili Phahrolrazi, kedua-dua pihak berjaya mencapai persetujuan menerusi proses mediasi yang dilakukan hari ini.
“Persetujuan tersebut dicapai selepas Ramli A. Rahman yang dinamakan sebagai defendan bersetuju memadam artikel atau paparan yang dimuat naik pada 7 Mac lalu di laman sosial Facebook dengan menggunakan nama Harry Ramli,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zulhazmi berkata, defendan juga bersetuju membuat permohonan maaf secara terbuka dan dalam penghakiman persetujuan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim, Ramli telah menyatakan kekesalannya.
Kata beliau, antara kandungan kenyataan maaf yang dibacakan defendan menyatakan kekhilafan memuat naik status berserta tangkapan skrin aplikasi WhatsApp mengandungi kandungan yang tidak tepat dan boleh di salah erti dalam akaun Facebook miliknya yang menggunakan nama Harry Ramli.
“Saya (defendan) berharap agar plaintif dapat memaafkan saya atas tindakan tersebut dan berjanji tidak akan mengulangi serta memastikan tiada lagi kejadian seumpama akan berlaku pada masa depan.
“Diharap hubungan antara plaintif dan saya akan kembali baik. Saya berharap dapat bekerjasama dalam berkhidmat kepada masyarakat di kawasan DUN (dewan undangan negeri) Alor Mengkudu khususnya dan seluruh rakyat Kedah secara amnya,” ujarnya.
Phahrolrazi yang juga ADUN Parti Amanah Negara (Amanah) pada 18 April lalu menfailkan saman itu atas dakwaan Ramli telah memuat naik satu status dan tangkapan skrin aplikasi WhatsApp dalam Facebook miliknya atas nama Harry Ramli pada 7 Mac lalu yang didakwa mengandungi kandungan memfitnahnya. – UTUSAN ONLINE











