Jangan pinggirkan Perlembagaan - Utusan Malaysia

Jangan pinggirkan Perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMASA bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipilih menjadi Perdana Menteri keenam, beliau memperkenal konsep 1Malaysia. Konsep ini diperkenal secara tiba-tiba dan tiada penjelasan tentang konsep tersebut.

Sebelum beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi memperkenal konsep Islam Hadhari, yang juga mencetuskan pelbagai persoalan pada mulanya.

Konsep 1Malaysia pada awalnya ramai mentafsirkannya dengan pelbagai tafsiran termasuk bahawa dengan adanya 1Malaysia semua rakyat bersatu tanpa mengira kaum agama dan bangsa.

Malah tafsiran yang lebih ekstrem ialah mengatakan dengan konsep ini semua bangsa dan agama adalah sama tinggi berdiri dan sama rendah duduknya. Tiada sebarang kelebihan antara satu dengan yang lain. Maka timbul pelbagai pandangan yang meletakkan semua agama dan bangsa secara setara tanpa apa-apa keistimewaan.

Namun Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) antara pertubuhan bukan kerajaan terawal menegaskan bahawa konsep 1Malaysia ini tidak boleh mengatasi undang-undang khususnya Perlembagaan Persekutuan. Apa pun yang dilakukan oleh kerajaan hendaklah tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Hanya setelah itu, Najib menjelaskan konsep 1Malaysia ini tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkuat kuasa.

Maka ramailah puak liberal dan pluralisme agama marah dengan penjelasan ini. Golongan ini yang selalu mempertikai keistimewaan diberikan kepada agama Islam dan orang Melayu sedangkan ia telah tercatat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia tidak perlu dipertikai dan sudah terbukti menjadi ramuan menjamin keamanan dalam negara sejak negara mencapai kemerdekaan. Kenapa kini ada yang mahu mempertikainya?

TIDAK BOLEH ATASI PERLEMBAGAAN

Setelah Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan baharu dan memperkenal konsep Malaysia Baharu. Perdana Menteri baharu dipilih iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri keempat. Dr. Mahathir memperkenal Malaysia Baharu yang berteraskan kedaulatan undang-undang.

Namun perkara yang sama berlaku dalam isu ini. Ramai berpandangan dalam konsep Malaysia Baharu ini apa sahaja yang telah dilakukan boleh diubah kerana kerajaan baharu telah terbentuk. Kononnya, semua perlu berkonsep dan berwajah baharu.

Pendekatan ini salah kerana konsep Malaysia Baharu sama seperti 1Malaysia yang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa. Iaitu:

  • Sepatutnya tidak timbul sebarang usaha bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.
  • Selagi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tidak dipinda seluruh rakyat dan pemimpin negara tetap tertakluk kepada kedua-dua elemen utama itu.
  • Kerajaan perlu menjelaskan tentang konsep ini dan tidak meletakkan rakyat secara semberono mengamalkan prinsip Malaysia Baharu ini.

Sebarang tindakan mesti dibuat dalam kerangka sistem perundangan di Malaysia. Malah teras asal Perlembagaan Persekutuan mesti terus dipelihara, antaranya:

1. Kedudukan istimewa agama Islam, orang Melayu dan raja-raja Melayu.

2. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan khususnya dalam ucapan-ucapan pihak eksekutif.

* Iklan-iklan komersial di tempat-tempat strategik seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga langsung tidak menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama iklan mereka. Hal yang demikian menjadikan bahasa Melayu menjadi asing di bumi sendiri.

3. Malaysia Baharu juga tidak bermakna semua rakyat bebas menyuarakan apa yang mereka fikirkan tanpa perlu bertanggungjawab jika berlaku pembohongan, penipuan atau hasutan.

4. Setiap hak yang diberikan undang-undang mempunyai batasan tersendiri dan tidak bersifat mutlak.

KUASA MEMERINTAH BUKAN MUTLAK

Saya berpendapat apa pun yang dilakukan oleh pimpinan sama ada pada peringkat negeri atau negara mestilah mengambil kira kedudukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuatkuasa.

Mendapat kuasa memerintah bukanlah bermakna boleh memerintah mengikut sesuka hati pihak kerajaan sahaja.

Mereka masih perlu mengikuti Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang. Di samping itu, perlu ada sistem imbangan yang akan terus memantau pihak kerajaan dalam melakukan sebarang tindakan.

Mahkamah sebagai badan yang bebas adalah tempat untuk menyemak kemunasabahan tindakan diambil oleh kerajaan sama ada ia bertentangan dengan perundangan negara atau sebaliknya.

Oleh demikian rakyat masih boleh mempertikai sesuatu tindakan diambil oleh kerajaan melalui permohonan semakan kehakiman di mahkamah.

Oleh demikian apa pun konsep diperkenal kerajaan semasa ia tidak boleh mengatasi ketinggian Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Apatah lagi apabila Dr. Mahathir selalu menegaskan bahawa kedaulatan undang-undang menjadi elemen penting kepada sebarang tindakan yang akan diambil oleh kerajaan pimpinannya.

Struktur asas perlembagaan seperti kedudukan istimewa Islam, bahasa Melayu, orang Melayu dan raja-raja mestilah dipertahan.

Raja-raja Melayu adalah simbol penyatuan rakyat Malaysia. Kerajaan mesti mempertahankan raja-raja Melayu sebagai jati diri negara. Malah di Malaysia penguasa disebut sebagai kerajaan bukan pemerintah sebagaimana di Singapura dan Indonesia.

Kalimah ‘kerajaan’ ini berakar umbi daripada perkataan ‘raja’. Oleh itu pihak kerajaan mestilah mempertahan raja kerana raja adalah sebahagian daripada kerajaan itu sendiri.

Ketinggian Perlembagaan Persekutuan sudah diterima semua. Oleh itu, keseluruhan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah diangkat tinggi bukan memilih yang mana satu mahu dimartabatkan dan meminggirkan yang lain.

Kita sudah menerima Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi, berilah efek perundangan sebenar kepada Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×