HOCKENHEIM, Jerman – Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel mengakui telah melakukan kesilapan sehingga meranapkan impiannya untuk muncul juara di laman sendiri selepas terbabas pada Grand Prix (GP) Jerman malam kelmarin.
Pada saingan tersebut, Vettel yang memulakan perlumbaan di petak pertama dilihat hampir pasti menjulang kemenangan kelimanya musim ini apabila menguasai sepa–njang perlumbaan.
Bagaimanapun, hujan yang turun selepas lebih separuh perlumbaan nyata mengubah rentak perlumbaan apabila Vettel gagal mengawal jentera SF71H, sekali gus terbabas dan melanggar penghadang jalan ketika saingan hanya berbaki 15 pusingan untuk tamat.
Akibat insiden tersebut, Lewis Hamilton kembali memimpin carta kedudukan pelumba dengan kelebihan 17 mata apabila mengumpul 188 mata berbanding Vettel di tempat kedua, 171 mata.
“Kami mempunyai jentera yang terbaik dan memberi keyakinan kepada kami untuk beraksi dengan lebih baik berbanding pasukan lain. Keadaan berubah selepas hujan mula turun pada saingan tersebut
“Saya akui telah lakukan kesilapan dan sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Saya mohon maaf kepada pasukan selepas menyediakan sebuah jentera yang terbaik sepanjang minggu ini,” katanya.
Pemegang gelaran empat kali juara dunia itu tetap optimis me–ngenai peluangnya untuk memburu gelaran kelimanya musim ini selepas mempamerkan aksi yang konsisten sepanjang 11 pusingan perlumbaan.
“Kami memiliki jentera yang kompetitif dan saya yakin masih mampu memberi tentangan untuk kembali berada di kedudukan pertama.
“Saya enggan terlalu memikirkan apa yang terjadi di Hockenheim dan saya akan memburu kemenangan seterusnya,” ujarnya. – Agensi











