BERLIN – Pemain tengah Jerman, Mesut Ozil secara rasminya mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa selepas dikritik hebat oleh Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) pada kempen Piala Dunia 2018.
Ozil yang juga pemain bintang Arsenal turut dihina kerana mengadakan pertemuan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebelum saingan di Rusia itu membuka tirainya.
“Selepas gambar saya bersama Erdogan tersebar, saya meminta izin daripada jurulatih, Joachim Low untuk memendekkan cuti saya kerana mahu terbang ke Berlin bagi memberi penjelasan kepada orang ramai.
“Low tidak mahu saya membazirkan masa untuk melakukan perkara tersebut kerana baginya bola sepak dan politik adalah perkara yang berbeza. Justeru, saya membuat keputusan untuk mengabaikan segala kritikan yang dilemparkan kerana mahu fokus kepada Piala Dunia.
“Perkara ini juga merupakan penyebab mengapa saya tidak hadir pada sesi media semasa melakukan persediaan ke Piala Dunia. Tidak sangka pula para wartawan lebih berminat tentang isu politik berbanding bola sepak,” katanya.
Ozil merupakan wira Jerman pada kancah Piala Dunia 2014. Daripada 92 aksi antarabangsa, dia telah menyumbang 23 gol.
Sebagai rekod, pada aksi Piala Dunia, Jerman pulang awal selepas tewas kepada Korea Selatan pada saingan peringkat kumpulan. Ia adalah pencapaian terburuk mereka sejak 1938.
Susulan itu, Ozil telah menjadi sasaran serangan para penyokong serta pemerhati bola sepak sehingga ada yang menyifatkan pemain berusia 29 tahun itu sebagai ‘katak mati’.
Mengulas mengenai situasi itu, bekas pemain Real Madrid tersebut menyifatkan ia adalah perkara yang tidak adil bagi dirinya kerana wujud lebih ramai pemain yang gagal mempamerkan prestasi cemerlang terutamanya di posisi serangan. – Agensi











