Enactus UMT bersaing di persada dunia - Utusan Malaysia

Enactus UMT bersaing di persada dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 23 Julai – Kumpulan Enactus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menjuarai Piala Enactus Kebangsaan baru-baru ini bakal mewakili negara dalam pertandingan peringkat dunia di San Jose, California, Amerika Syarikat pada Oktober depan.

Institusi pendidikan tinggi itu akan bersaing dengan 36 buah negara, dan pasukan 25 pelajarnya yang diketuai oleh Muhammad Syamil Naseh berharap dapat melakar satu lagi sejarah baharu, kali ini di persada antarabangsa.

Dalam pertandingan peringkat kebangsaan, UMT mengatasi empat lagi institusi pendidikan tinggi iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) , Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Pertandingan tahunan anjuran Yayasan Enactus Malaysia itu melibatkan 10 buah universiti dalam Projek Enactus dengan setiap kumpulan membentangkan projek-projek komuniti yang telah mereka jalankan dan lima dipilih bagi penilian peringkat akhir.

UMT membentangkan tiga projek iaitu Pendebungaan Menggunakan Kelulut (POLLEN), Penanaman Timun Batang Bagi Membantu Menjana Pendapatan Penagih Dadah (EAST Vege) dan Penapisan Air Bersih Bagi Keperluan Asas Komuniti (FERESYS).

Menurut Muhammad Syamil, projek ini dibangunkan setelah beberapa siri kajian dan penyelidikan terhadap sekumpulan responden.

“Alhamdulillah, kejayaan ini sangat bermakna buat kami, melakar sejarah baharu bagi UMT yang bakal mewakili Malaysia. Terima kasih kepada pihak UMT yang memberi sokongan dank kemudahan kepada kami terutamanya penasihat fakluti, pengajar, pembimbing dan alumni,” ujarnya di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan UMT yang mencatat pencapaian membanggakan.

“UMT mengalu-alukan dan menyokong penuh usaha-usaha sedemikian dalam menerapkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar. Kejayaan ini diharapkan menjadi dorongan kepada pelajar-pelajar lain.

Enactus memayungi komuniti komuniti pelajar, ahli akademik dan peneraju dalam bidang perniagaan yang memberi komitmen untuk memanfaatkan langkah-langkah keusahawanan sosial ke arah transformasi dalam membantu mencorak kehidupan lebih baik buat masyarakat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×