BANGI – Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menambah baik Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308) yang berkaitan dengan pengasuh kanak-kanak di rumah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, jawatankuasa melibatkan beberapa kementerian dan agensi berkaitan itu antara lain akan melihat aspek pemantauan, khususnya kepada pihak yang menjalankan aktiviti mengasuh atau menjaga kanak-kanak di rumah.
“Memang kita ada kekangan untuk melakukan pemantauan kerana bidang kuasa yang ada merentasi kementerian.
“Kekangan dan kelompangan ini yang harus ditambah baik, diselaras dan difikirkan oleh jawatankuasa khas tersebut,” katanya mengulas sama ada kerajaan mempunyai perancangan dalam menangani hal berkaitan aktiviti asuhan kanak-kanak di rumah.
Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Tujuh Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini hari ini, Wan Azizah berkata, penambahbaikan itu perlu merangkumi perkara siapa perlu bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan aktiviti tersebut termasuk penyediaan garis panduan sekiranya berlaku sesuatu kejadian tidak diingini terhadap kanak-kanak yang diasuh. – Bernama











