Dua wanita cedera ditetak perompak - Utusan Malaysia

Dua wanita cedera ditetak perompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIRI – Tiga individu termasuk dua wanita parah selepas ditetak menggunakan parang oleh seorang perompak yang berpura-pura membeli barang di dalam kiosk sebuah stesen minyak di Desa Senadin di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, dua wanita berusia 19 dan 22 tahun yang merupakan pekerja premis itu cedera pada tengkorak kepala dan belakang badan manakala bapa kepada salah seorang mangsa cedera pada muka.

Pemangku Ketua Polis Daerah Miri, Deputi Superintendan Aldrin Junaidi Kutoi berkata, sebelum kejadian, suspek masuk ke dalam kiosk itu dan berpura-pura hendak membeli barang sebelum dia menghampiri dua pekerja tersebut dan mengeluarkan parang yang disimpan di dalam bajunya.

“Suspek kemudian meluru ke dalam kaunter dan menetak kedua-dua mangsa sebelum dua wanita berkenaan melarikan diri untuk mendapatkan bantuan.

“Bapa seorang pekerja yang kebetulan sedang mengisi minyak di premis itu sempat menyaksikan kejadian tersebut sebelum mengejar suspek, namun dia turut ditetak pada muka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, suspek yang sempat melarikan wang tunai berjumlah RM2,000 bagaimanapun berjaya diberkas oleh orang awam kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian sebelum lelaki itu diserahkan kepada polis.

“Suspek kini ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan kerana merompak hingga mendatangkan kecederaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×