MADINAH 14 Julai – Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah kira-kira pukul 9.25 pagi waktu tempatan.
Sebaik sahaja pesawat yang membawa mereka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz Madinah, kesemua mereka menjalani proses imbasan bagasi kabin.
Kesemua 483 jemaah itu kemudiannya terus dibawa dengan bas ke bangunan penginapan iaitu Hotel Movenpick yang terletak di Zon 2 iaitu kira-kira 100 meter dari dataran Masjid Nabawi.
Berita berkaitan:
Menyambut ketibaan mereka di hotel ialah Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainul Rahim Zainuddin dan Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan), Nurinanuwar Shamsuddin.
Para jemaah akan berada di Madinah kira-kira lapan hari sebelum memasuki Mekah.
Sepanjang di Madinah, beberapa program sudah diatur oleh Tabung Haji termasuk lawatan ke Masjid Quba, Masjid Qiblatain, kilang mencetak al-Quran dan ladang kurma. – UTUSAN ONLINE











