LONDON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam secara terbuka mengkritik strategi Brexit Perdana Menteri Britain, Theresa May dengan mengatakan ia membunuh harapan perjanjian perdagangan AS-Britain dan May gagal menerima pakai nasihatnya tentang cara berunding dengan Kesatuan Eropah (EU).
Dalam satu wawancara yang disiarkan beberapa jam sebelum beliau dijadualkan menghadiri makan tengah hari dengan May dan majlis minum teh bersama Ratu Elizabeth II semalam, Trump mengkritik ‘keputusan tidak bernasib baik’ Perdana Menteri Britain itu dalam rundingan Brexit.
“Jika mereka membuat perjanjian seperti itu, kami akan berurusan dengan EU dan bukannya berurusan dengan UK, jadi ia mungkin membunuh perjanjian AS-Britain,” kata Trump kepada akhbar The Sun milik Rupert Murdoch.
“Saya akan melakukannya dengan cara yang berbeza. Saya sebenarnya telah memberitahu May tentang bagaimana untuk melakukannya tetapi beliau tidak mendengar nasihat saya,” tambahnya.
Selepas May melalui minggu yang sukar apabila Setiausaha Brexit, David Davis dan Setiausaha Luar, Boris Johnson meletak jawatan kerana memprotes rancangan Brexit London, Trump memuji Johnson dengan mengatakan bahawa beliau ‘akan menjadi perdana menteri yang hebat’.
Kritikan terbuka sedemikian oleh Presiden AS terhadap Perdana Menteri Britain semasa lawatan ke United Kingdom boleh melemahkan May dalam partinya, di mata rakyat Britain dan di peringkat antarabangsa. Apabila diminta mengulas mengenai komen tersebut, jurucakap May berkata, Perdana Menteri itu sedia untuk duduk berbincang dengan Trump.
Ketika Britain bersedia meninggalkan blok EU pada 29 Mac 2019, penyokong Brexit banyak memperkatakan tentang hubungan istimewa bersama AS dan manfaat menjalin hubungan perdagangan yang rapat dengan kuasa ekonomi terbesar dunia itu.
Ramai telah mengatakan pelan May sebagai pengkhianatan termasuk ahli Parlimen Parti Konservatif pimpinannya yang telah memberi amaran bahawa kepimpinan May mungkin akan dicabar.
Jurucakap White House, Sarah Sanders berkata, Trump sangat menghormati dan menyukai May dan menambah, beliau berkata hal yang baik dalam temu bual itu dan tidak bercakap buruk mengenai wanita tersebut.
Bagi rakyat yang menyokong pelan meninggalkan EU itu, Trump dan Brexit menawarkan prospek untuk membebaskan diri daripada apa yang mereka lihat sebagai institusi dan peraturan usang.
Bagaimanapun bagi kebanyakan diplomat, Brexit menandakan keruntuhan strategi selama 70 tahun dalam usaha mengimbangi integrasi Eropah dengan sekutu AS berdasarkan perkongsian darah keturunan, perdagangan dan perisikan. – Reuters











