Wajar akta dana politik - Utusan Malaysia

Wajar akta dana politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, CADANGAN Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mewujudkan undang-undang khas berkaitan pembiayaan dana politik adalah wajar dan tepat pada masanya.

Kewujudan undang-undang tersebut sebagai langkah drastik membanteras gejala rasuah dan penyelewengan di semua peringkat di samping meningkatkan lagi ketelusan sistem dan amalan politik di negara ini.

Sebagai sebuah kerajaan baharu yang telah mendapat mandat besar daripada rakyat, wujud satu keperluan kepada undang-undang sedemikian bagi menjayakan transformasi politik negara dan menyelesaikan isu pengurusan, kawal selia dana dan tadbir urus kewangan parti politik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini adalah langkah reformasi politik dan perundangan yang wajar bagi menangani masalah rasuah politik secara khusus dan implikasi sampingannya kelak.

Undang-undang ini jika diperkenalkan mampu menghalang pemberian wang atau dana daripada ahli, penyokong parti atau pihak-pihak tertentu yang mengharapkan sesuatu sebagai balasan sekali gus menjurus kepada amalan rasuah.

Pengenalan undang-undang baharu ini dilihat akan melengkapkan undang-undang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957; Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954; Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta beberapa akta lain yang mampu melonjak imej perundangan negara dan meningkatkan integriti politik.

Kewajaran undang-undang ini diwujudkan agar dapat mengawal selia dana politik dan perincian perbelanjaan calon misalnya dan parti yang bertanding dalam Pilihan raya umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) di mana ia bertujuan mengurus tadbir serta pemantauan dana parti politik secara telus.

Terdapat beberapa cadangan pembentukan undang-undang dana politik yang adil dan komprehensif di negara ini dengan mewajibkan semua dana politik disalurkan melalui akaun parti dan bukannya akaun individu.

Ini bagi memastikan wujudnya ketelusan dan akauntabiliti atau kebertanggungjawaban calon dan parti yang bertanding dalam pilihan raya.

Adalah disarankan agar ikrar atau pengisytiharan dana atau derma politik yang diterima dari dalam dan luar negara perlu diumumkan secara rasmi dan sumber dana berkenaan hendaklah diaudit oleh badan bebas yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

MOHAMAD SOFEE RAZAK

Sungai Petani, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×