Alkisah seorang gadis kampung
sungguh manis berbaju kurung
jalan berlenggang memakai tudung
berhijrah ke kota mencuba untung.
Mula sampai tersangatlah canggung
cukup waktu sentiasa bertelekung
adat budaya masih disanjung
ketinggian agama tetap dijunjung.
Tidak lama si gadis kampung
setelah bekerja di sebuah gedung
tidak lagi berbaju kurung
tidak lagi memakai tudung.
Lagaknya pun mula sombong
jalannya bergaya dada membusung
tidak lagi makan di warung
balik kerja ada orang menyongsong.
Malam minggu tak lagi duduk melopong
hari-hari berlalu tak lagi kosong
ke sana ke mari selalu digonggong
oleh mat-mat buaya dan jerung.
Satu hari gadis kampung
duduk menyendiri lama termenung
mula memikirkan nasibnya untung
terkenangkan keluarga lama tak berhubung.
Setelah lama tak pulang ke kampung
keluarga di desa tersangatlah bingung
datang ke kota niat menyongsong
habis dicari di pangkal di hujung.
Semua tempat habis dikunjung
ke serata ceruk denai dan lorong
anak gadisnya tak juga bertembung
berita kabarnya tak dengar langsung.
Tiba-tiba gemparlah orang di tanjung
satu mayat dijumpai terapung
disahkan seorang gadis dari kampung
membunuh diri kerana mengandung.
EHSAN JAMILY
Taman Desa Baru, Melaka










