KUALA LUMPUR 13 Julai – Sebanyak 86 unit topi keledar dirampas dalam serbuan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Kuala Lumpur di sebuah premis jualan aksesori motosikal di Jalan Genting Klang, Setapak di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguat kuasa PPDNHEP negeri, Low Swee Hon berkata, rampasan bernilai RM17,200 itu, dilakukan kerana topi keledar tersebut gagal mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan Sirim.
Menurutnya, topi keledar itu juga didapati tidak memenuhi ciri keselamatan standard E mark dari luar negara untuk kegunaan di jalan raya negara ini.
“Serbuan tersebut dilakukan dalam satu Op Standard Keselamatan Helmet di sekitar ibu negara hari ini. Pelbagai model, saiz dan warna berjenama Zeus dirampas dalam operasi tersebut.
“Sebuah premis perniagaan dipercayai menjual topi keledar dan beroperasi selama dua tahun didakwa membawa masuk barangan itu dari luar negara ke negara ini untuk dijual,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Swee Hon, barang kes yang dirampas itu akan disimpan pihaknya siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Topi Keledar Motosikal) 2012, Sek. 29(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











