Venue Malaysia, Myanmar kekal di Delta Sidoarjo - Utusan Malaysia

Venue Malaysia, Myanmar kekal di Delta Sidoarjo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Julai – Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) menafikan khabar angin dan berita yang tidak disahkan di media sosial bahawa stadium bagi perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Bawah 19 Tahun (B-19) AFF antara Malaysia dengan Myanmar esok akan ditukar.

AFF di dalam laman sesawang www.aseanfootball.org, menegaskan perlawanan akhir itu tetap akan berlangsung di Stadium Delta Sidoarjo, Surabaya pada pukul 8 malam waktu Malaysia, biarpun perlawanan separuh akhir antara Malaysia dengan Indonesia di stadium sama semalam dicemari dengan kekecohan yang dilakukan oleh sesetengah penyokong tempatan.

AFF juga berkata perlawanan menentukan tempat ketiga dan keempat antara Thailand dengan Indonesia akan berlangsung terlebih dahulu pada pukul 4.30 petang waktu Malaysia di stadium yang sama.

Dalam perkembangan yang sama, AFF berkata jawatankuasa penganjur kejohanan dengan kerjasama Polis Republik Indonesia (POLRI) sudah mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan pemain dan pegawai pasukan di dalam perlawanan akhir esok.

Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan separuh akhir semalam.

Berikutan kekalahan itu, ada penyokong pasukan Indonesia yang membaling batu dan botol ke arah pemain Malaysia yang sedang menuju ke bilik persalinan, selepas tamat perlawanan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×