KANGAR – Sebanyak 13 kes demam denggi dilaporkan di Perlis dalam tempoh minggu pertama bulan ini, menjadikan jumlah 141 kes tanpa kes kematian direkodkan sejak 1 Januari lalu, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Zaini Hussin.
Jumlah kes meningkat kepada 25 kes berbanding 116 kes dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, 10 kawasan mempunyai indeks pembiakan Aedes tertinggi di negeri itu.
Kawasan tersebut ialah Taman Berlian, Rancangan Perumahan Awam (RPA) Kuala Perlis dan Kampung Perak (Kuala Perlis); Kampung Bakau dan Kampung Guar Syed Alwi (Kangar); Kampung Kok Mak, Kampung Padang Jelutong dan Perawah (Padang Besar); Kampung Alor Redis dan Kampung Berjaya (Arau).
Katanya, sebanyak 580 aktiviti pemeriksaan dilaksanakan di 19 kawasan potensi pembiakan Aedes di seluruh negeri walaupun cuma 74 premis yang positif pembiakan Aedes sejak awal tahun hingga minggu lepas. – Bernama











