KUALA LUMPUR 13 Julai – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan supaya Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi penggal ke-14.
Penolong Setiausaha Publisitinya, Muhammad Shakir Ameer berkata, sokongan itu dibuat mengambil kira jasa Kit Siang yang dianggap mengukuhkan demokrasi di negara ini serta memelihara hak rakyat sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen pada tahun 1969.
“Malah hujah-hujah beliau mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan menyuarakan isu-isu rakyat tanpa mengira latar belakang adalah sesuatu yang sukar ditandingi oleh sesiapa.
“Kami percaya sepanjang pengalamannya sebagai seorang Ahli Parlimen pembangkang selama ini dan sekarang kerajaan, beliau akan berlaku adil dan tegas kepada semua untuk memastikan bahawa sistem demokrasi berparlimen akan dipelihara demi kebaikan rakyat sejagat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











