IPOH 13 Julai – Affin Bank Berhad (Affin Bank) bakal melancarkan cawangan digitalnya yang pertama di MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur pada bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil berkata, cawangan digital merupakan usaha untuk meningkatkan kualiti penyampaian kepada para pelanggannya melalui platform perbankan digital.
Menurutnya, , langkah tersebut merupakan antara beberapa projek pendigitalan yang akan dilancarkan pada tahun ini dan tahun depan, seiring menuju ke arah pengaplikasian transaksi tanpa wang tunai.
“Ada beberapa projek yang akan Affin Bank lancarkan khususnya dari segi teknologi maklumat (IT) dan digital, maknanya kita dapat menukar Affin Bank ini kepada satu imej yang lebih dinamik.
“Contohnya tahun ini kita akan lancarkan ‘retail internet banking’ dan ‘mobile internet banking’,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Affin Bank Cawangan Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Perasmian cawangan baharu ke-108 itu yang terletak di lokasi strategik di sini telah disempurnakan oleh Pengerusi Affin Bank, Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin. – UTUSAN ONLINE











