KUALA TERENGGANU 13 Julai – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun putus lengan kirinya selepas bajunya tersangkut pada rim motosikal ketika membonceng di Kampung Binjai Bongkok, Marang malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli dari Kampung Tebakang turut mengalami luka di kepala dan kaki.
Difahamkan murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Tasek, Marang itu memakai baju bersaiz besar milik ibunya sebelum pakaian berkenaan terbelit pada rim motosikal jyang ditunggangi kakak sepupunya semasa mereka dalam perjalanan ke rumah penghulu kampung yang terletak berhampiran.
Kakak saudaranya, Noor Aina Hananie Rezali, 18, berkata, dia bersama mangsa dan adik kanak-kanak itu mahu ke rumah penghulu bagi mendapatkan cop pengesahan untuk permohonan pembiayaan pendidikan Yayasan Terengganu (YT) bagi menyambung pelajaran ke salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di negeri ini.
Bagaimanapun, ketika menghampiri destinasi, dia sudah tidak lagi mendengar suara adik saudaranya malah motosikal yang ditunggangi tiba-tiba menjadi perlahan sebelum menyedari yang mangsa rupa-rupanya sudah terjatuh.
“Saya cuba memberhentikan motosikal ke tepi jalan dengan menggunakan kaki, masa itu adik mangsa masih ada di atas (motosikal).
“Saya turun pada motosikal dan nampak tangan Khumaira terlekat pada rim, saya menggeletar tengok darah banyak sangat. Masa itu Khumaira sedar tetapi dia langsung tidak nangis dan cuma kata sakit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Menurut Noor Aina Hananie, cemas dengan keadaan itu, dia segera menghubungi ibu mangsa, Rohidayu Siup @ Yusof, 29, yang berada di rumah manakala penduduk kampung turut membantu mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian. – UTUSAN ONLINE











