Mahkamah Rayuan tolak rayuan DUN Sarawak - Utusan Malaysia

Mahkamah Rayuan tolak rayuan DUN Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang, Datuk Seri Wong Soon Koh dan DUN Sarawak berhubung status wakil rakyat DAP, Dr. Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut.

Perkara ini ditentukan selepas rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan status Tiong Choon ditolak tanpa kos oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Beliau yang bersidang bersama Harmindar Singh Dhaliwal menolak rayuan itu manakala Datuk Mary Lim Thiam Suan pula membenarkannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan untuk mengekalkan status wakil rakyat DAP, Dr. Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut pada 17 Jun tahun lalu.

Abang Iskandar dan Harmindar berpandangan, perayu tidak mempunyai bidang kuasa untuk melucutkan status Tiong Choon sebagai wakil rakyat berikutan memiliki warganegara Australia yang telah pun dilepaskan sebelum dipilih menjadi ADUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016.

Menurut Abang Iskandar, DUN hanya mempunyai kuasa menentukan status ahli dewan itu dibatalkan kelayakannya selepas pilihan raya.

Pada 12 Mei 2016, DUN Sarawak memutuskan dengan undi majoriti melucutkan kelayakan Tiong Choon sebagai ADUN Pujut kerana mempunyai kewarganegaraan Australia dan Malaysia.

Beliau memfailkan saman pemula bagi mencabar perlucutan kelayakannya di Mahkamah Tinggi Kuching dengan keputusan dibuat Hakim Douglas Cristo Primus Sikayun memihak Tiong Choon dengan mengembalikannya sebagai ADUN Pujut. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×