SHAH ALAM – Pemegang rekod jelajah solo berkasut roda Malaysia Book of Records, Azam Mohd. Shidid kini mengorak langkah lebih jauh dengan menyertai Kejohanan Orienteering Universiti Dunia di Kourtney, Finland bermula 14 hingga 22 Julai ini.
Menurut Azam yang juga pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, demi memastikan kejayaan dalam pertandingan berprestij itu, dia telah berkorban dengan berlatih pada bulan Ramadan dan memendekkan cuti Hari Raya Aidilfitri.
“Sebelum ini, saya memenangi Kejohanan Orienteering Asia 2017 di Gopeng dan kejohanan sama di Tanjung Malim.
“Sasaran saya adalah memenangi tempat ke-10 dalam setiap acara yang saya sertai di Finland nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Jalur Gemilang di Bangunan Canseleri di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Datuk Abdullah Mohd. Said.
Menurut Azam yang akan bersaing acara jarak sederhana dan pecut, dia hanya meletakkan sasaran untuk menduduki tempat ke 10 kerana masih belum mengetahui kekuatan pencabar yang bertanding.
“Justeru saya telah membuat persiapan rapi dengan menyertai kejohanan sukan lasak di dalam negara sepanjang tahun untuk mengekalkan momentum,” katanya.
Antara negara yang menyertai kejohanan tersebut adalah Amerika Syarikat, China, New Zealand dan Jepun. – K! ONLINE











