KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu merupakan satu penghormatan terbesar kerajaan kepada institusi tersebut.
Menurut bekas Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, beliau gembira dan menyambut baik pelantikan itu memandangkan Nor Shamsiah telah lama berkhidmat dengan bank pusat tersebut.
“Nor Shamsiah merupakan bekas Timbalan Gabenor BNM semasa saya berkhidmat dan beliau tahu semua perkara mengenai perbankan pusat.
“Beliau layak menggalas tugas tersebut dan saya yakin dia dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya kepada pemberita di Menara Ilham di sini semalam.
Sebelum ini, Nor Shamsiah dilaporkan terlibat dalam siasatan BNM ke atas syarikat 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) pada tahun 2015 semasa Zeti menjadi Gabenor BNM.
Tambah Zeti, beliau yakin Nor Shamsiah mampu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap BNM.
“Ini adalah apa yang pasaran mahukan iaitu melihat BNM kekal sebagai satu institusi bebas dalam melaksanakan fungsinya.
“Nor Shamsiah dikenali di peringkat antarabangsa dalam bidang kepakarannya dan beliau layak menerajui tugas tersebut berdasarkan kemampuannya,” katanya.










