TIGA pemain yang dijemput khas pasukan Paris Saint-German (PSG) Bawah 13 Tahun (B-13) untuk beraksi pada Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello di Rom, Itali berjaya membuka mata pasukan di Eropah selepas salah seorang daripadanya, Mohammad Haykal Danish Mohd. Haizon menjaringkan gol ketiga dalam perlawanan pembukaan pertandingan tersebut kelmarin.
![]() |
|
NURUL IZZAH
|
Haykal bersama Rohisham Haiqal Hashim dan penjaga gol, Hazriq Haqqim Mohd. Izham merupakan tiga pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) telah berlepas ke Itali Selasa lalu selepas persembahan mereka di Perancis bagi kejohanan Piala Joinville (April lalu) berjaya mencuri tumpuan pasukan gergasi Ligue 1 tersebut.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengakui gembira akan persembahan Haykal kerana mempunyai keyakinan tinggi sehingga berjaya menjaringkan gol di pentas Eropah.
“Saya melihat bakat dan pengetahuan yang ada pada pemain kita selain latihan baik dapat memacu kebolehan mereka untuk beraksi di luar negara.
“Tahniah juga kepada AMD kerana usaha mereka melahirkan bakat muda negara dan saya harap pendedahan yang diberikan ini akan memberi impak kepada sukan bola sepak negara pada masa depan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Haykal yang menyarung jersi bernombor 17 berjaya menjaringkan gol ketiga buat PSG dalam kotak penalti ketika berdepan pasukan A.C Cesena, manakala Hazriq Haqqim berjaya melakukan aksi tanpa bolos selepas diberi peluang membarisi kesebelasan utama pada perlawanan tersebut.
Kejohanan tersebut berlangsung bermula 21 Jun sehingga esok dan ia turut disertai 16 pasukan gergasi Eropah lain antaranya Juventus, Inter Milan dan AS Roma.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin merasakan kejayaan yang telah dipamerkan oleh pemain AMD sebenarnya mampu mencorakkan masa depan bola sepak negara.
“Kejayaan trio pemain cilik kita di Rom telah membuka lembaran baharu buat pembangunan sukan bola sepak negara di persada dunia dan tidak mustahil kejayaan ini dapat memberikan harapan buat pasukan kebangsaan untuk beraksi pada Piala Dunia suatu hari nanti.
“Kejayaan ini juga adalah atas usaha Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dan sokongan yang diberikan oleh semua rakyat dalam usaha untuk melihat anak-anak Malaysia beraksi di pentas Eropah,” ujarnya.











