KUALA LUMPUR – Bahang kejohanan Piala Dunia 2018 yang bermula Khamis lalu membuatkan kaki bola sepak tanah air tidak melepaskan peluang menjejakkan kaki ke Rusia sekali gus menyambut Aidilfitri di perantauan.
Salah seorang peminat tegar bola sepak, Putra Tashrinudin Tajudin, 32, berkata, keterujaan untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia buat kali pertama secara langsung di stadium membuatkan dia sanggup ke Rusia walaupun terpaksa menyambut lebaran jauh daripada keluarga di Perak.
Tashrinudin yang bertolak ke Rusia pada Ahad lalu memberitahu, dia telah menempah tiket perlawanan Piala Dunia sejak tahun lepas sebaik tempahan itu dibuka secara online.
Kongsi Tashrinudin, dia memperuntukkan kira-kira RM10,000 untuk keseluruhan kos perjalanan, manakala tiket untuk satu perlawanan ialah sekitar RM642.
“Semalam (kelmarin) saya sempat menyaksikan perlawanan Portugal dan Maghribi. Esok (hari ini) saya akan saksikan pasukan pilihan saya iaitu Brazil menentang Costa Rica. Sebelum pulang pada 24 Jun ini, saya akan menyaksikan perlawanan Belgium dan Tunisia.











