SIAPA sangka setelah sembilan tahun bergelar novelis, Mazni Othman, 37, atau lebih dikenali dengan nama pena Sophilea berjaya memukau pembaca dengan novel seram sulungnya.
Sesiapa sahaja yang membaca novel ini pasti akan meremang bulu roma tatkala menelusuri plot demi plot untuk memahami gelojak perasaan dihadapi oleh watak utama iaitu Naili.
Karya ini menceritakan Naili yang dipinggirkan keluarga dan sering difitnah oleh kakak kandung sendiri sehingga dia menjadi mangsa dera.
Dek kerana perbuatan keluarganya itu, Naili berasa sangat marah, benci dan dendam dengan mereka.
Syaitan
Suatu hari dia membawa diri ke sebuah hutan berdekatan dengan rumahnya. Kebetulan Naili menjumpai seutas gelang yang tertimbus di dalam lubang.
Lalu dia mengambil gelang itu dan memakainya dan di situlah kisah hitamnya bermula.
“Sebenarnya gelang itu ditanam bersama pemiliknya yang merupakan pemuja syaitan.
“Dalam gelang itu tersemadi syaitan yang menunggu tuan baharu untuk memakainya,” ceritanya yang berasal dari Felda Lasah, Sungai Siput Utara, Perak.
Selepas Naili memakai gelang itu, dia didatangi syaitan yang menyerupai nenek tua dan berjanji untuk menjaga serta melindunginya.
Dalam keadaan terdesak kerana jiwa dipenuhi dengan dendam kesumat, Naili menerima tawaran syaitan itu untuk menjalani pemujaan seperti yang dikehendaki.
Sejak itu sesiapa sahaja yang menganiayai Naili akan ditimpa bencana. Perkara itu telah terjadi kepada kakaknya sehingga menjadi gila kerana gangguan makhluk halus tersebut.
Selama dua dekad Naili mempunyai pendamping. Malangnya, syaitan tersebut mahu memiliki jiwa raga wanita itu sehingga siapa sahaja yang mendekatinya akan diganggu.
Manuskrip hilang
Demikian ringkasan novel Kerana Kau Aku Kembali yang berjaya menerima Anugerah Buku Negara 2018 (Novelis Seram Terbaik).
Sebelum ini, Sophilea berjaya menghasilkan novel-novel terbaik tanah air seperti Anugerah Terindah, Samudera Indah Niat dan Nota Buat Cempaka.
Akui ibu kepada empat orang cahaya mata ini, penghasilan karyanya yang ke-23 itu memberi cabaran yang besar apabila ditimpa pengalaman-pengalaman seram sepanjang menyiapkan novel tersebut.
“Kebiasaannya saya menulis sekitar pukul 1 atau 2 pagi dan ketika itu ada kedengaran suara orang memanggil dan kelihatan kelibat nenek tua.
“Paling menguji kesabaran apabila manuskrip yang sudah siap 80 peratus tiba-tiba hilang dan terpaksa disiapkan dalam masa sebulan memandangkan sudah dekat dengan tarikh penerbitan,” terang anak keenam daripada tujuh beradik itu.
Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, ia tidak mematahkan semangat pemegang Diploma Perakaunan dari Universiti Sains Malaysia itu untuk menyiapkan novel tersebut.
Novel setebal 391 halaman itu sarat dengan pengajaran seperti bahana mengikut kehendak syaitan dan kebergantungan selain daripada Allah SWT.
Kerana Kau Aku Kembali juga mengajak pembaca agar tidak menyimpan perasaan dendam kerana ia akan memakan diri sendiri.
Selain itu, beliau juga bercadang untuk menulis karya travelog dan anekdot pada masa akan datang.











