Ismail tauke Songkok Gundal - Utusan Malaysia

Ismail tauke Songkok Gundal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISMAIL Ahmad Gundal, 58, begitu tekun membetulkan kedudukan kain baldu hitam di tangan kanan supaya selari dengan kertas manila di tangan kirinya.

Selepas berpuas hati, Ismail, menolak kain itu ke arah jarum mesin jahit jenama Brother yang menjadi sumber rezekinya sejak puluhan tahun lamanya.

“Ini baru siap badan…sekarang masuk ke peringkat yang paling leceh iaitu mencantumkan dengan kepala. Sudah siap nanti baru boleh nampak bentuk songkok ini,” kata Ismail sambil tangannya ligat menyiapkan sebuah songkok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Mail merupakan antara pengusaha songkok tradisional yang mempopularkan jenama Songkok Gundal yang dihasilkan seratus peratus jahitan tangan di kedainya di Jalan Besar, Kuantan, Pahang.

Songkok Gundal dijual pada harga antara RM40 hingga lebih RM200, bergantung kepada jenis baldu. Segelintir penduduk Kuantan mengenali Pak Mail sebagai pembuat songkok kerabat kerana hasil tangannya menjadi pilihan golongan istana termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, adindanya Tengku Abdul Rahman dan anakanda mereka.

Mengimbas penglibatannya dalam pembuatan songkok, Ismail diminta oleh bapanya, Ahmad Gundal Mat Chontor, 70, untuk membantu perniagaan keluarga sekitar tahun 1978. Pada masa itu keadaan kesihatan bapanya tidak mengizinkannya menyiapkan tempahan.

Rumit

Pada masa itu Ismail baru menamatkan sesi persekolahan. Dalam tempoh setahun selepas berhijrah ke Pekan dia juga mengambil peluang mendalami ilmu membaiki kenderaan. Bagaimanapun, bapanya bertegas supaya Ismail mempelajari cara-cara membuat songkok.

“Dalam 11 adik-beradik, mungkin saya yang paling kurang cerdik, namun Alhamdulillah, ilmu yang diturunkan ayah menjadi sumber rezeki untuk saya membesarkan sembilan anak,” kata anak jati Kuantan itu.

Songkok Gundal dihasilkan dalam dua jenis iaitu rata dan gunung. Songkok gunung ditinggikan kira-kira setengah inci pada bahagian kiri dan kanan kepala songkok, yang menjadi pilihan anak-anak muda.

Empat kelengkapan utama yang digunakan dalam pembuatan Songkok Gundal ialah kain baldu dari Jepun, Jerman dan Korea Selatan, kain satin sebagai lapisan dalam songkok, kertas manila dan kain perca. Saiz yang dihasilkan bermula dari 16 inci. Ia boleh digunakan oleh bayi yang berusia lebih tiga bulan sehingga saiz 26 inci.

Menurut Ismail, proses pembuatan songkok agak rumit. Dia mengambil masa sekitar dua jam untuk menyiapkan sebiji songkok. Dalam sehari hanya lima atau enam biji songkok sahaja boleh disiapkan. “Sebab itu, saya menolak jika ada yang mahu membeli songkok secara pukal untuk dipasarkan,” katanya.

Ismail menambah, proses membuat songkok bermula dengan proses mencatu iaitu memasang kain perca dengan kain satin bagi menghasilkan bahagian dalam songkok. Ia diikuti proses mengkarung yang bermaksud mengukur saiz dan menjahit garisan tepi songkok yang dilakukan secara berulang-ulang.

Selesai proses itu, ia disusuli dengan menggunting yang melibatkan dua bahagian iaitu kepala dan badan sebelum diteruskan dengan proses mencantumkan kedua-dua bahagian menjadi songkok.

Proses akhir pula memasang baldu pada keseluruhan songkok. Menurut Ismail, proses mencatu dan mengkarung boleh dilakukan oleh lima anak saudaranya.

“Saya sendiri mengambil masa lama untuk mahir sehingga pernah dimarahi ayah. Proses ini perlu dilakukan dengan teliti dan tepat, tidak boleh ada gelembung sedikit pun. Jika tidak, pemakainya akan rasa sakit dan tidak selesa selepas beberapa jam memakai songkok.

“Bukan semua orang boleh mencantum, mereka yang telah lama membantu saya pun masih tidak dapat mencantum songkok dengan sempurna,” katanya merujuk kepada puluhan songkok yang digunakan anak muridnya dalam sesi latihan mereka.

Ismail menambah, songkok yang sudah 99 peratus siap perlu dijahit dengan jahitan lilit ubi pada bahagian bawahnya. Tugas tersebut dilakukan oleh isterinya, Norizan Mamat, 52.

Tip

Sebagai menghargai pelanggan Songkok Gundal, Ismail juga menawarkan perkhidmatan menukar baldu songkok.

Berkongsi tip, Ismail menasihatkan pengguna supaya menyimpan songkok di dalam kotak kerana jika tidak disimpan dengan betul ia menyebabkan baldu bertukar warna atau pudar.

Sementara itu, seorang guru Mohd. Taufik Mohd Taib, 55, sanggup menempuh perjalanan sejauh 140 kilometer dari di Temerloh, Pahang untuk membeli Songkok Gundal setiap kali menjelang bulan Ramadan sejak sedekad lalu.

Dia tidak membeli songkok di tempat lain selepas mencuba songkok Gundal. 
“Songkok Gundal juga terletak cantik dan tidak rimas dipakai walaupun untuk tempoh yang lama.

“Saya pernah cuba membeli songkok di tempat lain, tapi akhirnya balik semula ke sini,” katanya.

Kakitangan kerajaan, Mohd. Alwi Azri, 33, mengakui, dia tertarik untuk mencuba songkok Gundal selepas beberapa rakannya kerap menyebut mengenai kehalusan jahitan dan keselesaan songkok itu.

Anak jati Tumpat, Kelantan itu menambah, meskipun harganya sedikit mahal, namun dia percaya kepada kata pepatah alah membeli menang. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini