PELAJAR berusia 17 tahun itu bagaikan tidak percaya apabila ibunya, Norashikin Jaafar, 43, memberitahu bahawa dia ditaja sepenuhnya untuk menunaikan umrah pada Ramadan ini.
Nur Saidatul Aqilah Jahayah yang merupakan pelajar di Mahaad Tahfiz Darul Azhar (MTDA), Serdang, Selangor telah ditaja oleh pusat tersebut dan beberapa individu dalam program Rehlah Lailatulqadar 2018 yang bermula pada 30 Mei lalu hingga 14 Jun ini.
“Setiap kali selepas mengerjakan tahajud, saya berdoa agar Allah memberi peluang kepada saya untuk mengerjakan umrah. Saya sangat bersyukur apabila mendengar perkhabaran yang dibawa oleh ibu. Ini kerana pihak MTDA memaklumkan perkara itu kepada ibu terlebih dahulu.
“Saya berharap dapat menjalani ibadah umrah pada bulan puasa ini dengan sebaik mungkin. Selain itu, saya berharap dapat memantapkan bacaan menerusi bertalaqqi bersama imam-imam di Masjidilharam, Mekah dan Masjid an-Nabawi, Madinah,” katanya yang telah menghafal sebanyak 11 juzuk.
Anak keempat daripada enam beradik itu ditaja sepenuhnya setelah menjadi pelajar cemerlang pada tahun lalu.
Pelajar yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang itu ditemui pada majlis pelepasan peserta umrah Rehlah Lailatulqadar 2018 di pusat berkenaan baru-baru ini. Perasmian program itu disempurnakan oleh Yang Dipertua MTDA, Dr. Azhar Mohamed.
Dalam pada itu, Mudirah MTDA yang juga Pengarah Urusan Kompleks Darul Azhar Wal Hikmah, Wan Samsiah Wan Muhammad berkata, program yang turut mendapat kerjasama syarikat Rayhar Travels itu disertai seramai 98 peserta termasuk 30 orang pelajar tahfiz.
Bacaan mantap
Menurutnya, sebahagian besar pelajar yang terlibat hanya perlu membayar sebanyak RM3,800 seorang iaitu separuh daripada kos sebenar.
“Program yang memasuki edisi ketiga ini merupakan satu hadiah istimewa kepada pelajar dan peserta lain kerana berpeluang menjadi tetamu Allah. Selain mengerjakan umrah pada bulan Ramadan yang pahalanya menyamai mengerjakan haji, para pelajar berpeluang bertalaqqi bersama imam-imam di Mekah dan Madinah.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, para peserta didapati bacaan mereka semakin mantap dan ada yang menyamai bacaan imam di dua masjid berkenaan. Lebih istimewa, pada tahun ini, dua pelajar layak diangkat menjadi mutawif iaitu Saiful Fyirsyad Saifudin dan Muhammad Nabil Mohd. Azhari. Kedua-duanya berusia 19 tahun,” jelasnya.
Menurutnya lagi, program berkenaan berkonsep beribadah sambil bersantai. Justeru, katanya, para pelajar bukan sekadar membuat umrah, malah pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti khatam al-Quran setiap hari dengan menghadiahkan bacaan tersebut kepada mereka yang telah meninggal dunia.
Sementara itu, Muhammad Nabil yang kali kedua mengikuti program berkenaan berhasrat untuk melaksanakan ibadah tersebut sebaik mungkin.
“Saya gembira dan teruja untuk melaksanakan umrah kali kedua ini. Saya ingin buat sehabis baik dan memperbaiki kelemahan umrah pada kali pertama, sekali gus mendapat umrah mabrur,” katanya yang hafaz al-Quran dalam tempoh tiga tahun empat bulan.
Anak sulung daripada tiga beradik itu juga berharap dapat membantu pelajar lain terutamanya mereka yang kali pertama melaksanakan umrah.
Muhammad Nabil yang pergi bersama bapanya, Mohd. Azhari Jemaon berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bahasa Arab di Jordan selepas pulang mengerjakan umrah berkenaan.











