Omar Mammah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah baharu - Utusan Malaysia

Omar Mammah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 11 Jun – Bekas Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Omar Mammah, 58, dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu berkuat kuasa hari ini.


Beliau menggantikan Datuk Razaruddin Hussain @ Abd Rasid yang akan bertukar ke Perak memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Perak.


Majlis serah terima tugas antara Razaruddin dan Omar berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini dengan disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.


Memuatkan artikel berkaitan…

Omar dalam ucapannya selepas menandatangani sijil serah terima tugas itu mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mempercayainya untuk menggalas jawatan kedua terpenting itu.


“Sebagai orang nombor dua saya akan bertanggungjawab untuk membantu Pesuruhjaya Polis Sabah dalam mengurus tadbir dan memastikan perjalanan pentadbiran dan operasi kepolisan berjalan dengan sempurna selaras dengan kehendak pucuk pimpinan PDRM,” katanya.


Omar yang juga merupakan anak tempatan Sabah berasal dari Semporna menyertai PDRM pada 17 Dis 1989, pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sabah dan Timbalan Ketua JSJ Selangor.


Sementara itu, Ramli percaya sebagai anak tempatan, Omar lebih memahami keadaan dan situasi di Sabah dan mampu menangani apa jua keadaan.


“Difahamkan ini adalah kali keempat beliau (Omar) ditukarkan ke kontinjen Sabah. Ini memang satu pencapaian yang hebat,” katanya.


Ramli turut mengucapkan terima kasih kepada Razaruddin kerana berjaya menjalankan tugas sebagai timbalannya dengan penuh dedikasi dan efisien.


Dalam pada itu, Razaruddin dalam ucapannya berkata sepanjang bertugas di Sabah selama hampir dua tahun telah banyak memberinya pengalaman terutama dari segi masyarakat dan geografinya.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM khususnya kontinjen Sabah atas kepercayaan, bimbingan, sokongan dan kerjasama diberikan ketika berkhidmat selama setahun tujuh bulan sebagai timbalan pesuruhjaya polis. – BERNAMA

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini