KUALA LUMPUR 11 Jun – Kerajaan disaran mengkaji semula cukai pelancongan yang dikenakan kepada hotel supaya dapat menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Cheah Swee Hee berkata, cukai yang dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk setiap malam itu dianggap membebankan dan boleh menjejaskan bilangan kemasukan pelancong.
Justeru, katanya, perbincangan perlu dibuat dengan lebih lanjut bagi memastikan sebarang pelaksanaan cukai adalah adil kepada semua pihak.
“Kita tidak menggalakkan pelancong tinggal di hotel untuk tempoh yang lama disebabkan cukai pelancongan dikenakan setiap kali pelancong bermalam di hotel.
“Tindakan yang terbaik adalah memansuhkan cukai tersebut kerana boleh menarik lebih ramai pelancong tetapi sudah tentu kita perlu berbincang mengenainya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini, hari ini.- UTUSAN ONLINE











