KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menempatkan pegawai serta anggotanya di 18 lokasi panas yang kerap berlaku kemalangan di beberapa lebuh raya sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal berlangsung beberapa hari lagi.
Lebuh Raya yang dikenal pasti dalam Ops Raya 2018 termasuk Lebuh Raya Utara- Selatan (PLUS), Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan Lebuh Raya Pantai Timur II (LPT II).
Pengarah JBPM, Mohamad Hamdan Wahid berkata, seramai 10 pegawai dan anggota daripada unit FRT/LFRT dan EMRS ditempatkan di setiap lokasi.
“Langkah itu diambil bagi membolehkan pihak bomba bertindak cepat di lokasi kejadian sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Ops Raya 2018 dilakukan selama 15 hari sehingga 22 Jun ini secara bersepadu bersama agensi-agensi lain,” katanya pada Majlis Perasmian Kempen Pencegahan Kebakaran dan Keselamatan JBPM sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di pusat beli-belah My Town, Cheras di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. – K! ONLINE











