SEREMBAN – Ketua Kluster Pembangunan Profesional dan Etika, Institut Tadbiran Awam Negara, Dr. Razali Ab. Malik dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) baharu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan ini adalah bagi menggantikan Datuk Seri Mat Ali Hassan yang ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya.
Turut dilantik Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan dan Pelaksanaan Projek di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohd. Khidir Majid, 46, yang menggantikan Datuk Johani Hassan sebagai Pegawai Kewangan Negeri juga berkuat kuasa hari ini.
Kedua-dua mereka telah mengangkat sumpah pagi tadi di hadapan Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Aminuddin dalam sidang akhbar berkata, pelantikan Razali dan Mohd. Khidir merupakan pertukaran biasa yang melibatkan pentadbiran.
“Saya mewakili kerajaan dan rakyat Negeri Sembilan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Mat Ali dan Johani atas jasa yang ditabur dan menaikkan negeri ini seperti yang ada sekarang,” katanya.
Sementara itu, Razali, 55, berkata, beliau berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepadanya dan akan terus bergandingan dengan kepimpinan bawah Aminuddin untuk memajukan negeri ini ke tahap yang lebih baik.
Bagi Mohd. Khidir yang mempunyai pengalaman 21 tahun dalam perkhidmatan awam berkata, beliau akan menggunakan ia sebaiknya untuk mentadbir urus kewangan negeri dengan berhemah, amanah dan berintegriti.
“Saya melihat Negeri Sembilan mempunyai potensi cukup besar untuk meningkatkan sumber ekonomi yang ada dan berdasarkan hala tuju kepimpinan baharu, kita cuba merancang penggunaan sumber secara optimum agar dapat mengagihkan kekayaan kepada rakyat negeri ini khususnya,” katanya. – Bernama











