'Tiger Leap' uji kesiapsiagaan 10 Briged Para - Utusan Malaysia

‘Tiger Leap’ uji kesiapsiagaan 10 Briged Para

PENERJUN bebas dilepaskan pada ketinggian 10,000 kaki daripada pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kepentingan operasi payung terjun telah dikenal pasti sejak Perang Dunia Kedua lagi. Malah, operasi payung terjun secara besar -besaran dilaksanakan pada ketika itu lagi menerusi operasi ‘Market Garden’.

Ketika itu, kira-kira 35,000 anggota tentera Divisyen Pertama Payung Terjun British dan Divisyen Ke-82 serta Divisyen Ke-101 Amerika Syarikat (AS) terlibat dalam operasi tersebut.

Selain ‘Market Garden’ ada beberapa operasi payung terjun lain yang agak terkenal antaranya Operasi Colossus dan Operasi Husky.

Menerusi kejayaan atau kegagalan operasi lampau sedikit sebanyak boleh dijadikan sebagai nilai berharga bagi mempertajamkan kemahiran serta kaedah pelaksanaan operasi pada masa akan datang.

Tidak ketinggalan Pasukan Atur Gerak Cepat (PAC) 10 Briged Para, salah satu elemen penting Tentera Darat untuk melaksanakan operasi payung terjun.

Ini terbukti menerusi Eksesais Tiger Leap siri 3/20 baru-baru ini di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

Sejumlah 400 anggota terlibat dalam latihan penerjunan dengan pecahan sebanyak 300 penerjun dan bakinya terdiri daripada kumpulan sokongan.

 

PEGAWAI dan anggota 10 Briged Para bergambar beramai-ramai sebelum melakukan terjunan dalam Eksesais ‘Tiger Leap’ di Kuantan, Pahang.

 

Latihan sebegini amat penting bagi meningkatkan tahap kesiagaan dan pada masa yang sama untuk mengekalkan kemahiran anggota dalam parachute operation.

Latihan penerjunan ini dilaksanakan bermula dengan latihan pemanasan di mock-up para ground training di Kem Terendak, Melaka dengan melibatkan semua anggota berkelayakan serta berstatus Fit Everywhere (FE).

Semua penerjun statik digugurkan pada ketinggian 1,000 kaki manakala penerjun bebas pada ketinggian 10,000 kaki.

PENERJUN WANITA

Dalam pada itu, Panglima 10 Briged Para ketika itu, Brigadier Jeneral Semaon Marjuki berkata, latihan khusus sebegini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa agar tahap kompetensi anggota 10 Briged (Para) sentiasa berada ditahap yang terbaik.

“Ia sejajar dengan tonggak pertama dalam perintah ulung panglima yang memberi penekanan untuk menambah baik tahap profesionalisme serta kecekapan taktikal dan teknikal,” jelasnya.

Semaon berkata, walaupun negara masih berdepan ancaman pandemik Covid-19, ia tidak menghalang Tentera Darat kekal komited dan terus berlatih bagi menjamin kedaulatan negara agar sentiasa terpelihara dari sebarang ancaman luar.

Katanya, segala prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu dipatuhi termasuk dalam aspek pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan penggunaan cecair nyah kuman.

Sementara itu, apa yang menarik, siri latihan kali ini turut disertai penerjun wanita dalam 10 Briged Para, Kapten Noratikah Takaluddin.

Wanita berusia 30 tahun ini mengakui agak kekok ketika mula-mula menyertai unit 10 Briged Para dan menganggap ia bukan sesuatu yang mudah.

“Saya menyertai pasukan payung terjun ini kerana saya hendak membuktikan wanita juga mampu melakukan aksi terjun dari udara.

“Sejujurnya saya berbangga kerana dalam kalangan sahabat saya yang menyertai ATM, saya berada di sini,” ujarnya.

KAPTEN Noratikah Takaluddin antara penerjun dalam Eksesais ‘Tiger Leap’ siri 3/20.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×