SINGAPURA 10 Jun – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hari ini berharap pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berjaya dalam Sidang Kemuncak ‘damai nuklear’ yang akan diadakan di Hotel Capella di Pulau Sentosa pada Selasa ini.
Beliau juga mengharapkan pertemuan itu akan meningkatkan prospek perdamaian dan kestabilan di Semenanjung Korea dan wilayah yang lebih besar, kata kenyataan Kementerian Luar Negeri yang dikeluarkan selepas pertemuan antara kedua-dua pemimpin di Istana di sini.
Jong-un awal petang tiba di Singapura menggunakan pesawat Air China.
Pada pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin itu, Hsien Loong dan Jong-un membincangkan hubungan Singapura-Korea Utara, perkembangan di Korea Utara dan perkembangan serantau termasuk perkembangan positif baru-baru ini di Semenanjung Korea.
“Perdana Menteri turut memuji keputusan berani dan mengagumkan oleh Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk bersama-sama untuk Sidang Kemuncak ini,” kata kenyataan itu.-BERNAMA










