PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan bahawa syarikat Pharmaniaga Bhd. memonopoli bekalan ubat-ubatan kepada semua kemudahan kesihatan awam di negara ini.
![]() |
|
DZULKEFLY
|
Menterinya, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa Pharmaniaga bertindak sebagai satu-satunya syarikat monopoli pemegang konsesi tunggal kerana terdapat juga vendor lain yang membekalkan secara langsung ubat-ubatan kepada semua kemudahan kesihatan kepada kementerian.
“Sektor awam menguruskan pemerolehan ubat-ubatan menerusi dasar dan arahan Kementerian Kewangan melalui pembelian oleh tender negara, perjanjian konsesi dan pembelian terus oleh kemudahan kesihatan individu di hospital dan klinik,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini semalam.
Dzulkefly merujuk kepada artikel dalam talian bertajuk Badan Pemikir Gesa Kerajaan Kaji Semula Peranan Pharmaniaga berhubung peranan syarikat itu dalam membekalkan ubat-ubatan kepada kemudahan kesihatan awam.
Beliau berkata, pada 2017, perbelanjaan kementerian untuk ubat-ubatan dan barang-barang guna habis ialah sekitar RM3.3 bilion.












