JURULATIH Akademi Bola Sepak Mohktar Dahari (AMD) Bawah 15 Tahun (B-15), Mohd Armi Sahriff menegaskan, barisan jurulatih tidak meletakkan sebarang Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada para pemain ketika mereka berdepan jelajah Eropah untuk bermain dalam beberapa kejohanan dan perlawanan persahabatan.
Kaedah tersebut dilakukan kerana enggan memberikan tekanan kepada pemain apabila beraksi pada peringkat atasan sekali gus cara tersebut telah mencipta kejayaan apabila AMD B-15 muncul sebagai juara Kejohanan Antarabangsa RKVVL/Polaris di Belanda serta berjaya menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Blau Weiss Hollage di Jerman.
Armi memberitahu, skuad AMD B-15 berlepas untuk edisi jelajah Eropah sejak 15 Mei hingga 5 Jun lalu tidak ditekankan dengan KPI tertentu supaya mereka dapat bermain tanpa sebarang tekanan.
“Kami pergi bersama skuad yang besar dengan 27 pemain, justeru saya ingin memberi peluang kepada mereka untuk bermain pada peringkat Eropah tanpa menyasarkan individu tertentu sahaja.
“Saya lebih menekankan supaya mereka bermain tanpa sebarang tekanan kerana percaya dengan cara tersebut pemain dapat beraksi lebih baik serta dapat menyumbangkan sesuatu kepada pasukan,” katanya yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang Rabu lalu.
Skuad AMD B-15 selamat tiba di KLIA pada pukul 2.25 petang selepas berada di Eropah hampir tiga minggu untuk mendapatkan pengalaman dalam beberapa kejohanan dan perlawanan persahabatan di Jerman, Belgium dan Belanda.
Sementara itu, Armi mengharapkan pemain AMD B-15 sedia ada mampu menjadi pelapis bagi mewarnai liga tempatan serta membawa nama negara untuk bertanding ke Piala Dunia suatu hari nanti.
“Pengalaman yang mereka dapat sepanjang berada di Eropah sangat membantu untuk pemain meningkatkan keyakinan dalam diri agar bersaing pada peringkat lebih tinggi.
“Saya mahu pengalaman tersebut dapat mematangkan pemain secepat mungkin kerana mereka merupakan pelapis dan muka baharu skuad negara pada masa hadapan,” ujarnya.











