VIENNA – Austria semalam menyatakan pihaknya mungkin mengusir sehingga 60 orang imam yang dibiayai Turki termasuk keluarga mereka dan menutup tujuh buah masjid sebagai tindakan keras bagi membanteras ‘politik Islam’, satu tindakan yang membangkitkan kemarahan Ankara.
“Jumlah yang mungkin terjejas akibat langkah tersebut mungkin 60 imam,” kata Menteri Dalam Negeri, Herbert Kickl daripada parti haluan kanan, Parti Kebebasan, rakan kecil dalam kerajaan gabungan Austria.
Sejumlah 150 orang berdepan risiko kehilangan hak penduduk mereka, kata beliau pada sidang akhbar di Vienna.
Turki segera mengecam tindakan tersebut.
“Keputusan Austria menutup tujuh buah masjid dan menghantar pulang imam-imam dengan alasan lapuk menunjukkan sikap anti-Islam, rasis dan gelombang populis diskriminasi di negara itu,” menurut jurucakap Presiden Turki, Ibrahim Kalin di Twitter.
Tujuh masjid itu ditutup selepas satu siasatan oleh pihak berkuasa hal ehwal keagamaan berhubung kemunculan gambar kanak-kanak berlakon mati pada April lalu termasuk serta melakonkan semula pertempuran Perang Dunia Pertama di Gallipoli.
“Kumpulan imigran, politik Islam dan radikalisasi tidak ada tempat di negara kami,” kata Canselor Sebastian Kurz daripada Parti Rakyat.
Proses bagi mengusir sejumlah kes membabitkan imam yang mempunyai kaitan dengan Persatuan Kebudayaan Islam Turki (ATIB) sedang dilaksanakan, kata Kickl.
Katanya, kerajaan mengesyaki golongan itu melanggar sekatan pembiayaan asing membabitkan institusi keagamaan. ATIB merupakan satu cabang agensi hal ehwal keagamaan Turki, Diyanet.
Koleksi gambar kanak-kanak itu yang disiarkan oleh majalah mingguan Falter menunjukkan mereka memakai pakaian kostum seragam sambil berarak, memberi tabik hormat, mengibarkan bendera Turki sebelum berlakon mati.
‘Mayat’ mereka kemudian disusun dan dilitupi bendera. Masjid yang terlibat dikendalikan oleh ATIB yang turut mengutuk gambar-gambar itu. – AFP











