JOHOR BAHRU 8 Jun – Keputusan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk tidak bertanding sebarang jawatan di peringkat Pusat pada pemilihan parti hujung bulan ini bukan penamat bagi karier politik beliau.
Sebaliknya, keputusan itu dibuat atas kesedaran dan keinsafan bahawa UMNO memerlukan perubahan total untuk kekal relevan dalam suasana politik semasa tanah air.
“Saya sedar dan insaf dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, itu adalah suara rakyat. Saya turut ambil tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap kekalahan tersebut.
Berita berkaitan:
“Justeru, saya telah membuat keputusan untuk tidak bertanding apa-apa jawatan di peringkat Pusat bagi sesi pemilihan kali ini. Sebaliknya, saya akan bekerja lebih keras untuk membangunkan semula UMNO di Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Bagaimanapun, Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong memberikan komitmennya untuk terus bekerja keras dengan usaha memulihkan imej dan membangunkan semula parti itu di peringkat negeri.
“Karier politik saya tidak akan berakhir, saya telah terlibat dalam politik sepanjang hidup saya dan tidak akan keluar parti.
“Jawatan bukan perkara paling penting dalam perjuangan kita untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya sambil memberitahu keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Naib Presiden yang menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut menghormati keputusan itu.
Hishammuddin turut akan mengadakan kunjungan ke semua UMNO bahagian di negeri ini bagi menerangkan dengan lebih terperinci mengenai keputusan beliau tidak bertanding.
Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan padu kepada Mohamed Khaled yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan kali ini.











