MESKIPUN tanpa kehadiran bintang utama, Zlatan Ibrahimovic di dalam skuad Piala Dunia 2018, Sweden yang dikendalikan oleh Janne Andersson tetap menjadi tumpuan kali ini selepas mereka berjaya menyingkirkan Itali untuk mara ke pusingan akhir di Rusia.
Penyingkiran tersebut menyaksikan Itali gagal layak ke Piala Dunia buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun, selepas diikat Sweden 0-0 pada aksi timbal balik kedua pertemuan playoff di Milan.
Kemenangan pada aksi pertama memberikan Sweden tiket ke Rusia apabila layak secara agregat 1-0 hasil kejayaan ketika beraksi di laman sendiri.
Dalam pertemuan yang penuh mendebarkan serta mencetus banyak ketegangan di San Siro, Sweden masih bernasib baik selepas mereka mampu menyelamatkan gawang mereka daripada dibolosi pasukan tuan rumah meskipun mereka terus diberikan tekanan bertali arus sehingga ke wisel penamat dibunyikan.
Ramai peminat tidak menyangka Sweden memiliki jentera pertahanan yang tersusun dan kebal sehingga mampu mencipta sejarah menyingkirkan skuad Azzurri di hadapan penyokong mereka sendiri.
Itali yang tidak pernah gagal beraksi di kejohanan berprestij itu sejak 1958 kini tumpas kepada pasukan yang berada di ranking ke-23 dunia walaupun Sweden tidak memiliki pemain yang ternama dan menonjol jika dibandingkan dengan pasukan Itali yang membariskan ramai pemain berpengalaman.
Bekalan yang dibawa oleh skuad Sweden pada aksi kedua mereka memberikan semangat baharu buat pemain untuk mengekalkan keputusan tersebut yang sememangnya membuka peluang yang cerah buat pasukan sekiranya mereka berjaya melakukannya.
Turun sebagai pasukan bukan pilihan di Rusia nanti, Sweden membariskan kebanyakan muka baharu tetapi kejayaan yang dicapai ketika peringkat kelayakan membuktikan mereka bukanlah sekadar pasukan pelengkap jadual sebaliknya cukup berbahaya kerana ramai yang masih belum memahami kekuatan yang dimiliki oleh The Blue-Yellow.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Sweden adalah pada pentas Piala Dunia Brazil 1950 dan Piala Dunia Amerika Syarikat 1994 selepas mereka berjaya merangkul tempat ketiga dalam dua kempen tersebut daripada 11 edisi yang mereka sertai.











