LEEDS, United Kingdom 8 Jun – Pengurus England, Gareth Southgate berkata Marcus Rashford telah menyebabkannya sukar untuk membuat keputusan menjelang Piala Dunia apabila pemain itu mempamerkan kecemerlangan ketika pasukannya menumpaskan Costa Rica 2-0.
Dalam perlawanan pemanas badan terakhir England itu, pemain Manchester United berkenaan dilihat menyerlah dalam skuad yang terdiri daripada ramai pemain baharu.
Selain Rashford, Danny Welbeck turut mempamerkan kecemerlangan apabila menyumbang gol kedua England pada minit ke-76 sekali gus membolehkan The Three Lions meneruskan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan.
“Apa yang paling menggembirakan saya adalah apabila Marcus Rashford seronok bermain bola pada malam ini. Dia bermain dengan gayanya tersendiri,” kata Southgate.
Rashford memanfaatkan ketiadaan kapten England, Harry Kane untuk bermula di barisan hadapan bersama Jamie Vardy dan telah mempamerkan kemampuannya dengan rembatan menakjubkan dari jarak 25 meter tepat ke penjuru gol seawal minit ke-13.
“Anda berlatih untuk menjaringkan gol dalam latihan setiap hari dan apabila mendapatnya dalam perlawanan sebenar, itu berupakan satu ganjaran,” kata Rashford.
Rashford berdepan situasi sukar pada penghujung musim lalu bersama United apabila dia hanya menjaringkan empat gol pada 2018 selain turut dikritik oleh Jose Mourinho.
Bagaimanapun, Southgate menegaskan bahawa pemain berusia 20 tahun itu perlu menunjukkan dirinya yang sebenar dan diberikan kebebasan untuk melakukan kesilapan.
“Dia berdepan penghujung musim yang sukar dan hanya bermain beberapa kali dan kadangkala kita lupa berapa usia dia.
“Bagi saya pada penghujung musim dia lebih banyak berjaga-jaga dan dapat dilihat dia cuba bekerja keras.
“Saya katakan kepada pasukan sebelum perlawanan bahawa saya menjangkakan untuk melihat kesilapan dan jika saya lupa maka itu akan menjadi masalah.
“Mereka beraksi pada malam ini untuk melakukan kesilapan namun mereka turut mempamerkan aksi hebat, termasuk jaringan oleh Marcus. Bagi saya gol tersebut bertaraf dunia,” kata Southgate. – AFP











