“SAYA mahu menjadi sumber inspirasi kepada semua kaum wanita supaya mereka juga boleh mencapai impian masing-masing.”
Itu kata-kata pertama yang keluar daripada mulut Lhakpa Sherpa sebaik berjaya menamatkan pendakian ke puncak Gunung Everest di Nepal baru-baru ini.
Lhakpa, 44, memecahkan rekodnya sendiri untuk mendaki gunung tertinggi di dunia itu sebanyak sembilan kali, sekali gus menjadi pendaki wanita paling berjaya dalam sejarah.
Dia melakar kejayaan itu ketika bergandingan bersama abangnya untuk membawa sekumpulan 50 orang pendaki ke puncak gunung setinggi 8,850 meter dari aras laut itu.
Kali pertama Lhakpa sampai ke puncak gunung yang dikenali sebagai bumbung dunia itu ialah pada tahun 2000 sebelum dia melakukannya sekali lagi pada tahun 2001, 2003, 2004, 2005, 2006, 2016 dan 2017.
“Jika seorang wanita dan ibu tunggal yang tidak mempunyai pendidikan seperti saya boleh sampai ke puncak Gunung Everest sebanyak sembilan kali, saya yakin mereka (kaum wanita) juga boleh melakukannya.
“Saya berjaya membuktikan bahawa wanita juga boleh melakukan tugas kaum lelaki. Tidak ada bezanya semasa mendaki di gunung. Saya mendaki untuk semua kaum wanita.
“Jadi, saya mahu menjadi sumber inspirasi mereka,” kata anak kelahiran Makalu itu.
Lhakpa mengakui, pendakian kali ini lebih mencabar berbanding pada tahun-tahun terdahulu kerana mereka terpaksa menempuh keadaan cuaca ekstrem seperti tiupan angin kencang dan salji tebal selain perlu menunggu beberapa hari untuk meneruskan pendakian ke puncak.
“Hanya beberapa orang daripada 50 pelanggan kami tidak sampai ke puncak tetapi sebahagian besar daripada mereka berjaya dan gembira,” katanya.
Meskipun lahir di Nepal, Lhakpa kini bermastautin dan bekerja di Amerika Syarikat (AS) bersama tiga orang anaknya.
Dia berpindah ke AS selepas mendirikan rumah tangga bersama seorang lelaki yang juga pendaki berketurunan Romania-Amerika, George Dijmarescu selama 12 tahun sebelum mereka berpisah.
Pasangan itu bertemu di Kathmandu pada tahun 2000 dan berkahwin dua tahun kemudian.
Bagaimanapun, rumah tangga mereka mula retak selepas Dijmarescu disahkan menghidap kanser pada tahun 2008.
Bercerita tentang kehidupannya, Lhakpa berkata, dia bergelut untuk membesarkan dua anak perempuan dan seorang lelaki.
Dia juga tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih kerana sibuk bekerja di pasar raya Whole Foods Market di West Hartford, AS.
Namun, keyakinan pemegang rekod dunia sebagai wanita paling banyak sampai ke puncak Gunung Everest itu tetap tinggi selepas lapan kali berjaya melakukannya.
“Badan saya sentiasa bersedia untuk melakukan pendakian ini. Ia seperti sebuah komputer. Ia bertindak balas dengan pantas. Badan saya sudah biasa dengan keadaan di altitud tinggi,” katanya.
Jerih perih Lhakpa itu sangat berbaloi apabila dia mendapat pengiktirafan daripada Guinness World Records.
Meskipun sangat dikenali dalam kalangan pendaki, kehidupannya lebih banyak dihabiskan di Connecticut, AS selepas berhijrah bersama bekas suaminya pada tahun 2002.
Cita-cita
Dia bangun seawal pukul 6 pagi pada setiap hari untuk menghantar kedua-dua anaknya Sunny, 16, dan Shiny, 11, ke sekolah.
Oleh kerana tidak pandai memandu kenderaan, dia berjalan kaki hampir 3 kilometer ke tempat kerjanya. Dia bekerja sebagai pencuci pinggan dan membersihkan meja makan di pasar raya itu.
“Kamu tidak akan mengetahui bahawa dia adalah pendaki Gunung Everest jika kamu tidak mengenalinya atau bercakap tentang perkara itu bersamanya.
“Dia adalah seorang wanita yang rendah diri dan bekerja dengan penuh keazaman,” kata seorang pengurus yang mengambil Lhakpa bekerja di Whole Foods Markets.
Sementara itu, Lhakpa berkata, dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor atau juruterbang tetapi sebagai seorang kanak-kanak perempuan yang membesar dalam komuniti etnik Sherpa bersama sembilan adik-beradiknya yang lain, dia tidak dibenarkan untuk ke sekolah.
Tanpa pendidikan formal, dia terpaksa melakukan pelbagai kerja di Connecticut seperti menjadi pembantu rumah, kerani dan pencuci pinggan untuk membesarkan anak-anaknya.
“Kos sara hidup sangat tinggi tetapi di sini (Connecticut) mempunyai sekolah yang terbaik,” katanya.
Lhakpa berkata, dia diajar untuk menghadapi kesusahan sejak kecil.
Anak gadis dalam etnik Lhakpa tidak digalakkan untuk melakukan aktiviti mendaki gunung tetapi dia membesar seperti seorang ‘tomboy’ dan sering membantu keluarganya mencari rezeki dengan bekerja sebagai porter atau pengangkut barang ke Everest Base Camp.
Melakar sejarah
Tambahnya, menjadi seorang pendaki sangat mencabar terutamanya selepas wanita pertama Nepal yang berjaya sampai ke puncak Gunung Everest, Pasang Lhamu Sherpa meninggal dunia ketika turun daripada gunung itu pada tahun 1993.
Pada tahun 2000, Lhakpa menyertai satu ekspedisi bersama lima pendaki wanita lain untuk meyakinkan pihak kerajaan negara itu supaya memberikan mereka permit pendakian.
Ekspedisi itu membolehkannya melakar sejarah sebagai pendaki wanita Nepal pertama yang berjaya sampai ke puncak dan turun dengan selamat.
Lhakpa berkata, dia merancang untuk mendaki gunung itu sekali lagi pada tahun hadapan.
“Pendaki berusia 70 tahun masih mendaki Gunung Everest dan saya juga mahu melakukannya.
“Saya akan mendaki Gunung Everest dan K2. Saya pernah mendaki Gunung K2 pada tahun 2010 tetapi gagal sampai ke puncak. Ia sangat sukar,” katanya sambil memberitahu, tahap kesihatannya masih baik dan sesuai untuk meneruskan aktiviti mendaki gunung itu.
Pada tahun ini, buat pertama kalinya Lhakpa mendapat penajaan selepas syarikat jenama aktiviti mendaki gunung, Black Diamond memerikan peralatan baharu dan bantuan kewangan kepadanya.
Selain itu, dia turut diisytiharkan sebagai ‘Ratu Gunung Everest’ oleh West Hartford.
“Saya tidak mahu menjadi terkenal. Saya hanya mahu melakukan aktiviti yang saya suka. Jika saya tidak melakukannya, saya berasa bosan. Saya mahu menguji kemampuan diri,” katanya.











