Gombak – Upacara membaca al-Quran beramai-ramai menerusi Program World Quran Hour (WQH) mendapat sambutan hangat apabila lebih 5,000 umat Islam membanjiri Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini semalam.
Kehadiran mereka di lokasi utama penganjuran WQH membolehkan peserta membaca, memahami serta menghayati ayat-ayat suci al-Quran.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu juga diadakan di 700 lokasi di Malaysia dengan penyertaan umat Islam dari 49 buah negara antaranya Arab Saudi, Amerika Syarikat, Albania, Australia, Bangladesh, Belgium, Bosnia-Herzegovina, Brunei Darussalam, Bulgaria, Rusia, New Zealand, Mesir, Perancis, Indonesia dan Turki.
Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, program WQH pada kali ini bertemakan Dunia Berbudi dan Penyayang bermatlamat bagi membentuk solidariti ummah di seluruh dunia selain berinteraksi bersama al-Quran.
“Kami harap melalui program ini akan wujud gelombang tsunami yang mana seluruh umat Islam akan menyemat budaya membaca, memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan mereka.
“Kami mahu ajaran yang terkandung dalam al-Quran boleh menyerap masuk ke dalam jiwa setiap umat Islam agar masalah sosial yang semakin berleluasa dapat diatasi,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah tiba pada pukul 11.30 pagi untuk bersama-sama menjayakan program WQH di UIAM.
Turut hadir ialah bekas Presiden UIAM, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin.
Program yang memasuki tahun ketiga itu menuntut umat Islam di seluruh dunia untuk meluangkan masa selama sejam untuk mendalami ayat-ayat suci al-Quran secara serentak meskipun pada waktu yang berbeza.











