Anak dilarikan hampir 12 jam ditemukan selamat - Utusan Malaysia

Anak dilarikan hampir 12 jam ditemukan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR 7 Jun – Hati ibu mana yang tidak gusar apabila anak kesa­yangan yang dipeluk dan dicium setiap hari tiba-tiba tiada di sisi setelah dipercayai dilarikan di Kampung Parit Lanjut, Sungai Terap di sini.

Bagaimanapun, drama men­debarkan antara pukul 3 pagi hingga 5 pagi yang tular di media sosial itu berakhir de­ngan kegembiraan apabila Nur Aisyah Hasmizan ditemukan selamat hanya satu kilometer dari rumahnya.

Bayi berusia 17 bulan itu dipercayai ditemukan polis hampir 12 jam kemudian dalam keadaan menangis apabila disyaki ditinggalkan keseora­ngan di kawasan semak berdekatan pencawang elektrik di daerah ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, badan dan muka bayi tersebut yang ditemukan pada pukul 3.45 petang itu dipenuhi kesan gigitan serangga akibat di­tinggalkan di kawasan belukar.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, seorang lelaki warga Nepal berusia 25 tahun ditahan di sebuah rumah kongsi di sini pada kira-kira pukul 9 pagi bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan mangsa dalam belukar kira-kira satu kilometer dari rumah keluarganya.

Ujarnya, mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut dan polis masih menyiasat motif kejadian mengikut Seksyen 363 kerana menculik.

“Polis turut menemukan satu daripada dua buah telefon bimbit milik mangsa yang dilaporkan hilang bersama-sama suspek terbabit,” katanya.

Terdahulu, anak bongsu daripada empat beradik kepada pasangan Hasmizan Othman, 35, dan Siti Noorfadila Yusofe, 30, dilaporkan hilang ketika kesemua mereka sedang tidur di bilik utama.

Kejadian hanya disedari nenek mangsa, Minah Basiran, 68, yang bangun untuk menyediakan juadah bersahur apabila mendapati pintu dapur berada dalam keadaan terbuka.

Minah kemudian mahu mengejutkan Siti Noorfadila sebelum kesemua mereka cemas apabila Nur Aisyah tiada di katil bersama ibunya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini