KUALA LUMPUR 7 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak semestinya menjadi Ketua Pembangkang dalam sidang pertama Parlimen yang dijadualkan bermula pada 16 Julai ini, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada usaha menstrukturkan semula parti.
Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, tugas-tugas perundangan di Parlimen boleh dipikul oleh pasukan lain yang dipandu mengikut pendirian dan polisi yang ditentukan oleh parti BN itu sendiri.
Beliau mencadangkan agar parti segera memulakan persiapan untuk sidang Parlimen dengan langkah pertama adalah memisahkan tugas antara parti dan juga wakil-wakil rakyat BN di Parlimen.
“Pengerusi BN tidak semestinya menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen. Malah, Pengerusi BN perlu memberi tumpuan kepada usaha menstrukturkan semula BN.
“Setelah Ketua Pembangkang dipilih dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen BN, satu Kabinet bayangan perlu dibentuk,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Tambah Khairy, walaupun tiada peruntukan rasmi untuk mewujudkan Kabinet bayangan, satu pasukan boleh diumum secara tidak rasmi bagi membolehkan rakyat merujuk dengan mudah siapa menteri bayangan bagi menyemak dan mengimbangi tugas menteri Pusat.
Beliau bagaimanapun sedar BN tidak akan diterima serta-merta sebagai sebuah parti pembangkang yang berwibawa kerana wujudnya defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat.
“Sebahagian besar daripada kami juga mengambil tanggungjawab bersama atas segala keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang lepas, termasuklah diri saya selaku bekas anggota jemaah menteri.
“Namun demikian, tugas kami sebagai pembangkang mesti diteruskan. BN mesti tampil menyemak dan mengimbang kerajaan Pakatan Harapan, terutamanya di Parlimen demi mengukuhkan institusi demokrasi ulung yang dituntut dalam Malaysia baharu,” katanya.
Malah katanya, walaupun mungkin terdapat perbezaan pendapat tentang cukai jualan dan perkhidmatan (SST), Ahli-ahli Dewan Negara BN perlu meluluskan rang undang-undang SST kerana tanpa cukai tersebut, kutipan hasil kerajaan akan terjejas dan ini akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Khairy menghargai peruntukan RM100,000 yang diberi kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat BN seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam.
“Walaupun jumlahnya tidak sama dengan apa yang diberi kepada rakan-rakan daripada Pakatan Harapan, pemberian ini lebih baik daripada apa yang diamalkan kami dahulu yakni tiada apa-apa peruntukan diberi kepada wakil-wakil rakyat pembangkang,” katanya.
Beliau juga mengharapkan pada masa yang akan datang, kerajaan dapat mempertimbangkan jumlah yang sama untuk wakil-wakil rakyat BN juga.











