Jangan jadi ‘pak turut’ – Hasni - Utusan Malaysia

Jangan jadi ‘pak turut’ – Hasni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 7 Jun – Kerajaan negeri didesak untuk tidak menjadi barisan boneka dan ‘pak turut’ kepada kerajaan Pusat terutama berhubung isu kedaulatan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) dan Tubir Selatan (South Ledge).

Justeru, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan barisan ke­pimpinan diminta segera belajar sejarah negeri ini serta hal ehwal setiap inci kedaulatan ta­nah dan jajahan takluk Johor, sekali gus menjaga kedaulatannya.

Desakan itu dibuat oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor yang turut menuntut kerajaan negeri mendesak kerajaan Pusat supaya menarik balik keputusan membatalkan permohonan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pulau Batu Puteh dan Tubir Selatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tuntutan itu dibuat menerusi satu memorandum bantahan yang diserahkan kepada kerajaan negeri oleh Ketua Pembangkang Johor, Datuk Hasni Mohammad di Ba­ngunan Dato’ Jaafar Muhammad di Kota Iskandar di sini hari ini.

Yang turut hadir, bekas Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan, Datuk Ayub Rahmat dan bekas Exco Sumber Manusia dan Perpaduan yang juga Ahli Dewan Undangan Ne­ge­ri (ADUN) Kahang, R. Vidyanathan.

Memorandum bantahan itu diterima oleh Setiausaha Sulit I Menteri Besar, Ambok Nani Muhamad Nor dan Setiausaha Sulit II, Mohammad Nafis Abdul Razak selepas sekumpulan rakyat me­ngadakan perhimpunan aman.

Hasni yang juga ADUN Benut berkata, pulau berkenaan adalah hak milik dan kedaulatan negara ini, sekali gus rayuan mendapatkannya perlu diteruskan.

Beliau menegaskan, Sultan Johor terdahulu, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail pernah menyatakan bahawa Pedra Branca, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah milik Johor.

Menurutnya, kerajaan Pusat juga hingga kini tidak memberikan alasan kukuh mengapa ra­yuan itu ditarik balik sedangkan terdapat tiga bukti baharu yang membolehkan ICJ menilai perkara itu dan tidak mustahil pulau tersebut menjadi hak Johor dan negara ini.

“Lebih malang apabila kerajaan negeri hanya menyokong sahaja apa yang diputuskan oleh kerajaan Pusat tanpa terlebih dahulu mengemukakan sebarang bentuk penjelasan, sekali gus memperjuangkan supaya semakan kehakiman itu diteruskan.

“Dan ini saya rujuk apabila Menteri Besar sendiri mengakui tidak mengetahui perjalanan permohonan pembatalan dan sejarah berkenaan tuntutan itu. Jadi, saya kira alasan seperti itu kita tidak boleh terima,” katanya.

Justeru, beliau menuntut kerajaan negeri memberikan penjelasan sejujurnya kepada rakyat mengenai keputusan kerajaan Pusat membatalkan permohonan berkenaan kepada ICJ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini