PULAU PINANG 7 Jun – Lebih 40 kanak-kanak autistik Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Permatang Damar Laut di sini ceria apabila menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri daripada Bank Rakyat dan rangkaian Pasaraya Mydin Wholesale.
Dinamakan Program Sinar Aidilfitri Dari Hati Ke Hati, kumpulan kanak-kanak berkenaan dibawa ke Pasaraya Mydin Bukit Jambul di sini untuk memilih sendiri pakaian raya yang diingini.
Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, program tanggungjawab sosial korporat berkenaan merupakan inisiatif pihaknya untuk berkongsi kemeriahan Aidilfitri yang bakal tiba dengan golongan kurang bernasib baik.
Katanya, program berkenaan juga sekali gus dapat mengurangkan beban keluarga kanak-kanak berkenaan.
“Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Pasaraya Mydin dalam program ini yang prihatin kepada keperluan golongan autistik,” katanya ketika ditemui pada program itu di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ketua Komunikasi Korporat Bank Rakyat, Nizam Abu Samah.
Sementara itu, Nizam berkata, negeri ini menjadi lokasi ketiga program berkenaan selepas Sabah dan Sarawak.
Program tanggungjawab sosial korporat Bank Rakyat pada tahun ini juga diteruskan menerusi sumbangan zakat berbentuk pembelian peralatan untuk Nur Farhain Maulad Abdul Khorwi.
Nizam berkata, penerima berkenaan dijangka menjalani pembedahan lutut di Hospital Kepala Batas pada bulan depan.
“Pada masa sama, buat kali pertama, Bank Rakyat juga akan mengadakan program moreh bersama Kelab Media Mutiara bertujuan mewujudkan hubungan baik dan sebagai tanda terima kasih kepada pengamal media yang sentiasa memberi sokongan kepada Bank Rakyat,” katanya.











